Thursday, September 17, 2009

Hadif Ar-Rayyan - Labor Room


Alhamdulillah...

Isteriku Alin telah selamat melahirkan bayi sulung kami, Hadif Ar-Rayyan dalam keadaan susah payah selama hampir 5 jam dalam labor room, bertarung kesakitan & kepayahan yang membuatkan aku amat insaf atas pengorbanan seorang wanita bergelar IBU...

Setelah 2 hari menahan kesakitan berterusan, akhirnya Hadif lahir melalui pembedahan. Bermula hari Isnin, aku hanya ke sekolah untuk punch dan balik semula ke kuarters atas kebenaran pentadbirku yang amat bertimbang rasa dengan keadaan isteriku. Memang benar, kebaikan yang kita berikan atas dasar menyenangkan hati orang lain akan mendapat balasan baik juga di satu ketika yang amat kita perlukan... Kami bergegas ke Hospital Putrajaya selepas itu, dengan harapan mendapat berita yang baik, namun hampa kerana masih belum terbuka jalan untuk Hadif keluar ke dunia... Hari kedua (Selasa) juga begitu, punch dan ke Putrajaya, namun agak lewat sedikit agar sakitnya lebih kepada bersalin, namun hampa sekali lagi. Kami terus pula ke Hospital Serdang, namun hampir ke jam 4.00 pagi, kami dinasihatkan pulang dahulu, atas sebab yang sama.

Esoknya (Rabu), aku terlewat bangun kerana terlalu penat pagi itu, hinggakan Kak Hairani yang ku minta pertolongan mengejutkan aku jam 6.30 dah telefon aku, namun ku tertidur semula... Pentadbir call pun aku tak larat nak jawab... Aku ke sekolah dan mohon cuti, tanpa banyak soal jawab pentadbirku meluluskan terus permohonanku. Ku kira, dapat hari ni bersalin pun bagus juga, sama ulang tahun kelahiran dengan mamanya nanti. Walaupun sebenarnya hatiku teringin untuk bertarikhkan 20.09.2009... Ku lihat semakin berat sakitnya isteriku, kupanjatkan doa ke hadrat Ilahi agar mempercepatkan kelahiran anak sulungku, takut terjadi apa2 pula isteri & kandungannya. Alin pun dimasukkan ke wad setelah kudaftarkan, dan aku pun pulang ke kuarters sekejap untuk mandi. Ibu mertuaku tinggal di hospital, setelah bapa mertua dan adik iparku pulang ke rumah di Port Dickson. Namun begitu, ibu mertuaku hanya tinggal di bawah kerana tidak dibenarkan duduk di wad. Sedang aku berehat2 melepaskan lelah, tiba2 isteriku menelefon dan mengatakan akan ditolak masuk ke labor room tidak lama lagi. Aku pun kelam kabut kerana tak mandi lagi, dan tak mahu ketinggalan ketika isteriku melahirkan anakku. Aku pun memecut Viva ke hospital Putrajaya, hanya memakan masa 15 minit kerana ketika itu jam 2.50 pagi. Sampai sahaja di hospital, aku mengejutkan ibu mertuaku yang sedang tidur di kerusi mengatakan isteriku akan masuk labor room sebentar lagi. Kami pun terus menuju ke Dewan Bersalin. Lebih kurang 3.30 pagi, jururawat memanggil aku masuk kerana masanya hampir sampai. Tetapi...

Hingga jam menunjukkan pukul 5.30 pagi, masih tiada lagi tanda2 bayiku akan keluar. Isteriku dah terlalu sakit nampaknya, tapi disebabkan kurang tenaga akibat hilang selera makan, dia tak dapat meneran dengan sempurna. Kasihan sangat kulihat... namun apa yang dapat kulakukan selain berdoa kepada Allah moga2 dimudahkan urusannya... Aku pun minta izin keluar sebentar untuk bersahur dengan biskut Music empat segi & air mineral yang tinggal 1/4 botol... Kemudian aku pun terus menunggu di luar dewan. Sehinggalah selepas solat Subuh, dan menjangkau jam 8.30 pagi, masih tiada apa2 berita daripada doktor tentang isteri & bayiku. Sampai entah beberapa kali aku terlelap di kerusi menunggu bersama ibu mertuaku.

Terdengar jururawat memanggil nama isteriku... dan aku pun dibenarkan masuk. Berdebarnya hati bercampur gembira kerana mungkin sudah sampai masanya, namun aku disuruh tunggu di luar dengan tirai tertutup. Selang beberapa minit, tirai diselak dan ku terpandang keadaan isteriku yang amat lemah... Tiba2 aku terasa debaran yang amat kencang di dadaku, dan doktor pun terus mengatakan Alin akan dibedah kerana dia tak mampu meneran, dan keadaan bayiku pun sudah lemah dan hampir lemas dalam rahimnya. Aku disuruh mengambil barang2, bertemu dengan isteriku, dan diminta menunggu di dewan menunggu tingkat 1. Kukucup dahi isteriku, dan mendoakannya selamat dengan hati yang sebak takut berlaku apa2... terus ku ajak ibu mertuaku ke tingkat 1 menanti Caeserean... satu keadaan yang tak pernah kugambarkan sepanjang isteriku hamil. Aku tak senang duduk, ditambah pula dalam keadaan yang terlalu sejuk, aku keluar menelefon ibuku, tak berjawab... mesti dia ke kebun pagi ni. Ku telefon Kak Leha (kakak iparku), sebab rumahnya dekat dengan kebun ibuku, tapi ibuku tiada. Mungkin dalam perjalanan pulang ke rumah. Kusampaikan khabar berita isteri & anakku kepada Kak Leha kalau2 ibuku ke sana semula. Selang beberapa minit ibuku menelefon semula, dan kusampaikan berita tersebut. Aku kembali ke bilik menunggu, dan lebih kurang 9.20 pagi... jururawat membuka pintu bilik dan menyebut nama isteriku & memegang seorang bayi... Ya, itulah Hadif Ar-Rayyan, buah hati yang kutunggu2... alangkah gembiranya aku bila melihat Hadif, dan Alin juga selamat. Aku dah jadi bapa!

Kudakap, kucium Hadif... merengek Hadif bila dipangku. Bila aku azan di telinga kanannya, Hadif berhenti merengek dan membuka matanya memandang aku, mendengar kalimah kebesaran yang kuucapkan dengan penuh perhatian. Ku tukar kedudukannya, merengek lagi, dan ku iqamahkan pula di telinga kiri. Sekali lagi Hadif berhenti merengek dan mendengar seperti tadi. Bahagianya hati baba! Hadif, kaulah penyeri hidup baba & mama yang merindu hampir 2 tahun untuk memiliki anak. Alhamdulillah, kami panjatkan syukur kepadaMu ya Allah...

Hadif Ar-Rayyan lahir pada 17 September 2009 (27 Ramadhan 1430), pada jam 9.04 pagi, seberat 2.99 kg, melalui Caeserean di Hospital Putrajaya... Syukurku kepada Allah SWT, dan jutaan terima kasih kepada kakitangan hospital yang menjalankan tugas mereka menyelamatkan Alin & Hadif.

p/s: Subhanallah... waktu lahir Hadif sama dengan waktu lahirku... 9.04 pagi!